KUALA LUMPUR, 28 Julai - Rancangan Malaysia Ke -13 (RMK13) yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 31 Julai ini diharap dapat menyelesaikan beberapa isu yang berlanjutan dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan dalam negara ketika ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sektor kesihatan memerlukan penambahbaikan dalam isu kelewatan waktu menunggu terutama di wad kecemasan serta rawatan kronik di fasiliti kerajaan .
"Isu kedua adalah berkaitan dengan kekurangan jawatan-jawatan profesional yang penting seperti doktor, jururawat, pegawai makmal, farmasi dan sebagainya. Ini juga akan menyebabkan kelewatan dan isu kualiti perkhidmatan.
"Isu seperti ini biasanya berlaku di kawasan-kawasan pedalaman atau yang jauh daripada bandar-bandar besar, diharap kerajaan dapat menambah baik dua fokus utama ini demi rakyat," katanya ketika dihubungi berita RTM .
Kerajaan juga diharap dapat menyegerakan sistem reformasi perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh, termasuk sistem pembiayaan kesihatan yang lebih baik.
Ini supaya dapat menampung keperluan permintaan, sekali gus meningkatkan kualiti dan perkhidmatan kepada masyarakat.