PETALING JAYA, 2 Januari – Kerajaan menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pendaftaran tapak bazar Ramadan secara dalam talian bagi memastikan proses permohonan dijalankan secara telus dan bebas daripada campur tangan ejen atau pihak ketiga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi menjamin peluang perniagaan diagihkan secara adil kepada peniaga kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada aktiviti perniagaan bermusim sepanjang Ramadan.
Menurut beliau, pendekatan yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi sistem pendaftaran digital wajar dijadikan contoh oleh majlis perbandaran lain di seluruh negara.
“Pengalaman di Petaling Jaya boleh dijadikan contoh melalui pendaftaran secara dalam talian. Kita mahu proses ini lebih teratur dan mengelakkan ejen yang mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jumhuriah di sini, hari ini.
Selain isu pendaftaran, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan aspek kebersihan serta pengurusan sisa di kawasan bazar Ramadan.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk menambah baik kemudahan asas di tapak pasar Ramadan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan PBT, termasuk memastikan bekalan air mencukupi dan tahap kebersihan berada pada tahap memuaskan.
Menurutnya, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelaras usaha berkenaan.
Mengulas isu pengurusan sampah, Anwar berkata, tindakan penguatkuasaan akan diperkukuh dan amaran tegas telah diberikan kepada semua pihak supaya mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal menguruskan pembuangan sisa dengan baik sehingga menjejaskan kebersihan awam,” katanya.
