fb fb fb fb fb

Jambatan kedua P. Pinang ditutup pada Sabtu, Ahad

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 2 Januari - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat bermula pukul 6.00 petang esok (Sabtu) hingga 3.00 pagi keesokan harinya (Ahad).

Penutupan itu bersempena dengan acara PDRM International Second Bridge Solidarity Fun Ride 2026.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua susur masuk dan keluar ke jambatan kedua itu hanya boleh diakses sebelum pukul 8.30 malam esok.

"Pengguna dari bahagian pulau boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Jambatan Pertama Pulau Pinang.

"Manakala, pengguna dari Seberang Perai menghala ke Bayan Lepas perlu melalui Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bulatan Bayan Baru," menurut kenyataan itu.

Bagi peringkat pertama ia melibatkan bulatan Queen 1, bulatan Queenbays/Harapan dan susur ke Queensbay dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (arah bulatan Bayan Baru dan George Town).

Sementara itu peringkat kedua yang bermula 8.00 malam melibatkan setiap persimpangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu hala ke susur naik JSAHMS (bawah jejantas), persimpangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari susur turun JSAHMS menghala ke persimpangan lampu isyarat Kampung Jawa dan bulatan Batu Maung ke pusat bandar.

Manakala peringkat ketiga bermula 8.30 malam melibatkan semua susur keluar ke JSAHMS bagi kedua-dua arah.

Sepanjang penutupan itu, pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada petugas trafik yang ditempatkan dilaluan terlibat bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta sentiasa mematuhi arahan petugas lalu-lintas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI