fb fb fb fb fb

JPN terima 50 permohonan pindaan status bangsa Baba Nyonya, 11 diluluskan

Datuk Badrul Hisham Alias

RAWANG, 2 Januari - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima kira-kira 50 permohonan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan, dengan 11 permohonan telah diluluskan selepas melalui proses penilaian teliti setakat ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata, setiap permohonan diproses berdasarkan bukti kukuh dan dokumen sokongan yang menepati syarat ditetapkan.

"Kita dari semasa ke semasa menerima permohonan, bukan sahaja daripada komuniti Baba dan Nyonya, malah turut melibatkan masyarakat Siam. Masyarakat Siam ini berada di empat atau lima negeri sempadan.

"Jika sebelum ini permohonan mereka tidak diluluskan, kini kita mula memberi kelulusan kepada masyarakat Siam. Masyarakat Siam yang dimaksudkan ialah kaum Thai tempatan yang mempunyai ikatan lama di negara ini.

"Mereka mungkin berkahwin dan menetap di Malaysia, khususnya di kawasan seperti Kelantan, Pengkalan Hulu dan Kedah. Walaupun berbangsa Thai, ibu bapa mereka sememangnya menetap di sini dan mereka juga dilahirkan di Malaysia. Oleh itu, pengiktirafan turut diberikan kepada masyarakat Siam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Sungai Buaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan pengiktirafan bangsa Siam, Datuk Badrul Hisham menegaskan bahawa ia hanya diberikan kepada masyarakat Siam tempatan yang lahir dan menetap di Malaysia.

"Dahulu penggunaan status bangsa Siam tidak dibenarkan, namun kini kebenaran diberikan khusus kepada masyarakat Siam tempatan yang ibu bapa serta nenek moyang mereka lahir di negara ini, seperti di Kelantan, Perak dan Kedah.

"Bagi masyarakat Siam yang berhijrah dari Thailand dan berkahwin dengan orang tempatan, mereka tidak layak kerana dikategorikan sebagai bangsa Thai," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sistem pendaftaran bangsa di JPN bersifat dinamik dan boleh dipinda sekiranya pemohon mengemukakan dokumen sokongan yang sah termasuk bukti salasilah keluarga.

Buat masa ini permohonan pindaan status bangsa perlu dilakukan secara fizikal di pejabat JPN, namun pembangunan sistem perkhidmatan hujung ke hujung atau ‘end-to-end’ sedang dirancang bagi memudahkan urusan pada masa hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI