KUCHING, 2 Januari - Penduduk terjejas banjir di Sarawak meningkat kepada 1,266 orang, setakat pukul 6.00 petang yang berlindung di 11 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Kemaskini infografik yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam, APM Sarawak menunjukkan angka itu meningkat berbanding 1,178 orang pada pukul 3.00 petang tadi.
PPS berkenaan melibatkan tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Lawas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan PPS diaktifkan di Kuching yang mempunyai keseluruhan 1,077 penduduk terjejas.
Di Samarahan, 23 penduduk terjejas dari Kampung Plaie dan Kampung Jegoi berada di PPS Dewan Suarah Kota Samarahan.
Manakala, 166 penduduk Kampung Siang-Siang dipindahkan ke dua PPS iaitu Dewan Masyarakat Trusan dan SJK (C) Chung Hwa, Lawas.
