fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir disaran daftar MyIBJKM, permudah salur bantuan

Datuk Seri Nancy Shukri melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu

KUCHING, 2 Januari - Penduduk terjejas banjir disaran untuk membuat pendaftaran segera menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan penerimaan bantuan, khususnya Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendaftaran melalui aplikasi berkenaan membolehkan maklumat penduduk terjejas direkodkan dengan lebih sistematik sekali gus mempercepatkan proses penyaluran bantuan.

"Pelaksanaan ini berjalan lancar di seluruh negara bagi membolehkan semua pihak menggunakan kemudahan yang disediakan, sekali gus mengelakkan sebarang aduan berkaitan tuntutan.

"Pembukaan serta pengoperasian pusat pemindahan sementara (PPS) juga dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu, di sini.

Lawatan itu turut dihadiri Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah.

Menurut Datuk Seri Nancy, aplikasi MyIBJKM yang dibangunkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkan penduduk terjejas melaksanakan proses pengurusan kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana, termasuk pendaftaran dan pengesahan maklumat di PPS.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI