KUCHING, 2 Januari - Sebanyak lapan Depoh Simpanan Keperluan Barang Bencana (DSKB) disediakan di seluruh negara bagi memastikan bekalan bantuan mencukupi dan dapat disalurkan dengan segera kepada penduduk terjejas bencana.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kewujudan depoh berkenaan berperanan penting dalam menyokong operasi pusat pemindahan sementara (PPS), khususnya bagi menjamin kelancaran pengagihan barangan keperluan asas.
Di Sarawak, depoh simpanan utama ditempatkan di Limbang, Kuching dan Samarahan, manakala beberapa mini depoh berbentuk kontena turut disediakan di lokasi strategik lain bagi mempercepatkan proses agihan bantuan.
"Semua persediaan telah dibuat. Sekiranya bekalan dikeluarkan, kita akan segera menambah stok bagi memastikan tiada penduduk terjejas berdepan kekurangan barangan keperluan, terutamanya makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu di sini.
Sistem depoh simpanan bekalan itu menjadi antara komponen penting dalam kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara sepanjang tempoh bencana.
