fb fb fb fb fb

617 pegawai, kakitangan JKM Sarawak siap siaga hadapi bencana

Datuk Seri Nancy Shukri pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu

KUCHING, 2 Disember - Seramai 617 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sarawak bersedia digerakkan sepenuhnya bagi menguruskan perkhidmatan pengurusan bencana di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesiapsiagaan tersebut merangkumi kekuatan sumber manusia pelbagai unit sokongan JKM bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas terpelihara.

Seramai 13 pegawai psikologi turut disediakan bagi memberi sokongan kesihatan mental kepada penduduk terjejas, selain Pasukan Sokongan Psikologi atau Psychological Support Team (PST) yang melibatkan seramai 270 anggota serta 230 sukarelawan JKM yang bersedia membantu di lapangan.

"Tadi kita dapat lihat kaunselor bersama sukarelawan turut terlibat bermain dan berinteraksi dengan kanak-kanak bagi membantu mereka.

"Setakat ini, persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah lengkap kerana kita tidak mahu penghuni, khususnya kanak-kanak, berasa bosan sepanjang berada di PPS. Inilah antara persediaan yang telah kita lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu di sini.

Mobilisasi menyeluruh itu membolehkan JKM melaksanakan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), penyelarasan bantuan serta sokongan psikososial kepada mangsa bencana dengan lebih berkesan dan tersusun.

Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan operasi pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lancar demi kesejahteraan penduduk terjejas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI