KUCHING, 2 Januari - Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan penyediaan sebanyak 9,058 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menempatkan sehingga dua juta mangsa bencana.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perancangan dan persediaan tersebut melibatkan keseluruhan negara bagi memastikan pengurusan pemindahan penduduk terjejas dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Ketersediaan PPS itu ia membolehkan kerajaan menangani sebarang situasi bencana berskala besar serta memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas terjamin.
"PPS yang telah berdaftar sentiasa berada dalam keadaan bersedia, khususnya dewan-dewan masyarakat dan dewan sekolah yang dikenal pasti untuk digunakan sebagai pusat pemindahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu di sini.
Kesiapsiagaan menyeluruh itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pengurusan bencana dilaksanakan secara sistematik dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
