fb fb fb fb fb

PM arah penggantian segera titi gantung runtuh di Kuala Krai

Jambatan di Lata Rek, Kuala Krai runtuh/ Foto orang awam

KUALA LUMPUR, 2 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan susulan insiden sebuah titi gantung runtuh, semalam.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja penggantian jambatan berkenaan perlu dilaksanakan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.

"Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.

"Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah," menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja penggantian jambatan itu akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.

Terdahulu media melaporkan, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek runtuh, menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.

Kejadian sekitar pukul 2.00 petang itu dipercayai berlaku ketika rombongan pengantin lelaki dalam perjalanan pulang dan bertembung dengan tetamu yang baru selesai menghadiri kenduri di atas titi tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI