fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuhkan

Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bakal dipengerusikan oleh Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed Hashim bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Januari - Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bakal dipengerusikan oleh Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed Hashim bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2028.

Penubuhan jawatankuasa itu adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan dibuat bawah peruntukan Seksyen 5 akta tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian, termasuk memantau serta mengemukakan syor berkaitan keselamatan kandungan dalam talian.

"Jawatankuasa ini bukan sekadar berperanan secara pentadbiran, sebaliknya menjalankan fungsi substantif, termasuk memberi nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kandungan prioriti itu merangkumi isu penganiayaan seksual kanak-kanak serta penipuan kewangan, selain penentuan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian.

Jawatankuasa berkenaan turut menilai keberkesanan mekanisme aduan, memantau penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang serta menjalankan penyelidikan teknikal dan analisis pakar berkaitan trend baharu jenayah siber, termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfakes.

Keanggotaan jawatankuasa berkenaan melibatkan sembilan ahli yang dilantik daripada pelbagai latar belakang kepakaran, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil, dengan Datuk Lim Thean Shiang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Ia turut dianggotai wakil penyedia perkhidmatan rangkaian dan aplikasi, wakil golongan orang kurang upaya serta individu berpengalaman dalam bidang keselamatan dalam talian.

Kerajaan MADANI turut komited kebebasan bersuara akan terus dihormati, namun dalam masa yang sama tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan rakyat, khususnya dalam melindungi golongan rentan daripada kemudaratan dalam talian.

 

JALALUDDIN BIN BAHARIN