fb fb fb fb fb

Pindaan had umur belia perkukuh pembangunan kepimpinan generasi muda

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh pembangunan dan kepimpinan generasi muda negara.

Pengarah Pembangunan Belia, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Murshid Arsyad berkata, pindaan menetapkan julat umur belia antara 15 hingga 30 tahun itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan anak muda untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Pindaan tersebut selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) serta Dasar Belia Malaysia 2015, yang mengambil kira konteks sosioekonomi dan tahap kematangan belia di Malaysia.

"Penetapan umur 15 hingga 30 tahun ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap kepimpinan belia, khususnya dalam memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat lebih awal dalam kepimpinan komuniti dan pembangunan sosial," katanya ketika dihubungi RTM.

Profesor Madya Dr. Mohd Murshid menjelaskan, transisi umur itu juga menunjukkan peningkatan kematangan sosial dalam kalangan belia, sekali gus berupaya mempercepatkan pembentukan nilai kepimpinan apabila mereka diberikan peluang dan pendedahan pada peringkat awal.

Meskipun sesetengah organisasi antarabangsa mentakrifkan belia dalam lingkungan umur lebih rendah, Malaysia memilih pendekatan yang disesuaikan dengan realiti tempatan agar pembangunan belia dapat dilaksanakan secara lebih optimum dan seiring dengan dasar pembangunan negara.

Mengulas kebimbangan terhadap golongan berusia 31 hingga 40 tahun yang tidak lagi termasuk dalam definisi belia, Profesor Madya Dr. Mohd Murshid menegaskan kumpulan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai terpinggir, sebaliknya berperanan penting sebagai pembimbing dan mentor.

"Golongan berusia 31 hingga 40 tahun mempunyai pengalaman, kepakaran serta jaringan yang luas dan wajar dimanfaatkan sebagai mentor melalui pendekatan kerjasama belia dewasa atau Youth–Adult Partnership," katanya.

Usaha itu juga mampu mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang lebih tersusun dan inklusif, termasuk mengiktiraf peranan golongan tersebut sebagai pekerja belia profesional dalam membimbing generasi muda.

Bagaimanapun penetapan had umur belia itu perlu disokong dengan pelaksanaan dasar jelas serta penyediaan program kepimpinan dan pembangunan yang menyeluruh bagi memastikan potensi belia dapat dimaksimumkan demi masa depan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI