fb fb fb fb fb

AirBorneo catat sejarah, penerbangan sulung ke Tanjung Manis

Pesawat AirBorneo DHC6-400 sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini/Foto BERNAMA

SIBU, 2 Januari — AirBorneo mencatat sejarah hari ini apabila buat pertama kali mendarat di Lapangan Terbang Tanjung Manis, di sini sekali gus membuka lembaran baharu hubungan udara ke kawasan itu.

Perkhidmatan pertama ini menghubungkan Kuching dengan Mukah dan Tanjung Manis, memperkukuh peranan AirBorneo dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau di Sarawak dan Sabah.

Penerbangan Kuching-Mukah, beroperasi menggunakan pesawat ATR72-500, berlepas pada 8.25 pagi manakala perkhidmatan Kuching-Tanjung Manis, yang menggunakan pesawat DHC6-400, berlepas tidak lama kemudian pada 8.45 pagi.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Insinyur Yusuf Wahab berkata ketibaan sulung penerbangan dari Kuching itu diharap menjadi titik permulaan kepada perkembangan AirBorneo serta merancakkan kemasukan pelancong dan pelabur ke Tanjung Manis.

Beliau berkata perkhidmatan penerbangan Kuching–Tanjung Manis kini beroperasi dengan kekerapan sekali sehari, dan dijangka meningkat susulan kelulusan kerajaan negeri terhadap projek pelebaran landasan serta pembesaran lapangan terbang berkenaan.

“Apabila kita mempunyai lapangan terbang yang lebih besar dan mampu menampung pesawat bersaiz lebih besar seperti ATR, sudah tentu orang ramai akan lebih yakin dan selesa menggunakan perkhidmatan udara,” katanya ketika ditemui RTM selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung itu pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata operasi AirBorneo diyakini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan menarik lebih banyak pelaburan dan aktiviti pelancongan ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, penumpang penerbangan sulung, Karamjit Singh, berkata beliau berasa terharu dapat menjadi sebahagian daripada sejarah awal syarikat penerbangan itu dan berharap AirBorneo terus berkembang serta membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak dan Sabah.

Seorang lagi penumpang, Rodney Gavin, pula menyifatkan penerbangan sulung itu sebagai kenangan bermakna dan berharap AirBorneo dapat membantu memperkukuh hubungan antara bandar dan luar bandar di negeri ini.

Penerbangan pertama AirBorneo kini merupakan pemilik sah selepas pengambilalihan MASwings dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini (Jumaat) oleh Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Lee Kim Shin.

GRACE AISYAH KEDAYAN