fb fb fb fb fb

I LITE U: 70 lampu LED akan mewarnai ibu negara mulai esok

Sebanyak 70 lampu diod pemancar cahaya (LED) akan memukau pengunjung di sekitar Bukit Bintang malam Sabtu

KUALA LUMPUR, 2 Januari — Sebanyak 70 lampu diod pemancar cahaya (LED) bakal mewarnai sekitar Bukit Bintang pada malam Sabtu sempena Festival ''I LITE U'' yang merupakan acara pembuka tirai Tahun Melawat Malaysia (TMM2026).

Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Hazli Ahmad, berkata festival itu menghiasi keindahan landskap bandar melalui penggunaan teknologi pencahayaan moden dan lestari selari agenda bandar rendah karbon.

Beliau berkata projek sepanjang kira-kira satu kilometer itu menampilkan rekaan lampu LED berkonsepkan lampu gantung, lampu bulan serta rekaan bertema dongeng yang menggunakan teknologi cekap tenaga.

“I LITE U merupakan akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, Eko-mampan dan Urbanisasi, dengan matlamat mewujudkan suasana malam bandar yang lebih hidup dan berdaya tarikan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Menurut beliau, projek I LITE U akan bermula pada pukul 7.30 malam esok dengan majlis pelancaran yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Dijangka turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh.

Pelaksanaan projek itu turut merangkumi elemen pencahayaan di pintu gerbang dan arca TMM2026 dengan gabungan reka bentuk moden dan tradisional, selain diserikan perarakan bercahaya serta persembahan artis tempatan.

Penutupan jalan bagi Festival "I LITE U" melibatkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail adalah pada 1 Jan dari 6 petang hingga 11 malam dan pada 3 Jan dari 6 petang hingga 12 tengah malam.

GRACE AISYAH KEDAYAN