BANGKOK, 27 Julai - Thailand dan Kemboja menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan gencatan senjata susulan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Ini berikutan konflik sempadan yang telah meragut lebih 30 nyawa dan memaksa lebih 130,000 penduduk berpindah.
Dalam kenyataan di platform X, Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa Perdana Menteri Sementara, Phumtham Wechayachai bersetuju secara prinsip terhadap cadangan gencatan senjata, namun mahu melihat keikhlasan Kemboja. Thailand juga menggesa agar dialog dua hala dimulakan segera bagi merangka langkah pelaksanaan damai.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam catatan di Facebook menyatakan persetujuan terhadap cadangan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat. Beliau turut menyebut bahawa pendirian itu telah disampaikan lebih awal kepada Pengerusi ASEAN iaitu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Julai lalu.
Hun Manet berharap Thailand kekal konsisten dengan pendirian terkini dan tidak berundur seperti yang berlaku dalam usaha mediasi oleh Malaysia sebelum ini. Beliau turut mengarahkan Menteri Luar Kemboja untuk bekerjasama dengan Setiausaha Negara AS dan Menteri Luar Thailand bagi merealisasikan rundingan damai.
Sementara itu, Presiden Trump memberi amaran tidak akan menandatangani sebarang perjanjian perdagangan dengan kedua-dua negara, jika konflik terus berlarutan.
Pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja kini memasuki hari ketiga, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan dan mendakwa bertindak atas dasar mempertahankan diri. - Reuters