DHAKA, 1 Januari - Parti Jamaat-e-Islami Bangladesh yang sebelum ini diharamkan, menyatakan kesediaan menyertai kerajaan perpaduan dan telah mengadakan rundingan dengan beberapa parti menjelang pilihan raya Parlimen pada Februari.
Tinjauan pendapat menunjukkan Jamaat-e-Islami berpeluang menduduki tempat kedua di belakang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).
Ini berpotensi menjadi penyertaan pertamanya selepas hampir 17 tahun, menandakan kemunculan semula dalam arus politik perdana negara berpenduduk 175 juta orang itu.
Jamaat pernah berada dalam kerajaan antara 2001 hingga 2006 sebagai rakan gabungan junior BNP dan kini terbuka untuk bekerjasama semula dengan parti berkenaan.
Walaupun memperjuangkan pemerintahan Islam berasaskan undang-undang syariah, Jamaat berusaha meluaskan sokongan melangkaui penyokong konservatifnya, dengan menegaskan agenda memerangi rasuah sebagai asas mana-mana kerajaan perpaduan.
Jawatan Perdana Menteri akan ditentukan oleh parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya 12 Februari ini.
