fb fb fb fb fb

Trak bantuan Mesir mula bergerak ke Gaza

Barisan trak bantuan sedang menunggu di lintasan sempadan Rafah.

RAFAH, 27 Julai - Beberapa trak bantuan kemanusiaan mula bergerak dari Rafah, Mesir menuju ke Gaza pada Ahad, selepas berbulan desakan antarabangsa dan amaran organisasi bantuan berhubung kebuluran besar-besaran di wilayah itu.

Rakaman yang disiarkan saluran Al Qahera News menunjukkan barisan panjang trak bantuan menunggu di lintasan sempadan sebelum mula bergerak kira-kira pukul 5:42 pagi waktu tempatan.

Menurut wartawan Al Qahera dari lokasi, puluhan trak yang membawa bertan-tan bantuan kemanusiaan sedang menuju ke lintasan Karam Abu Salem di selatan Gaza.

Beberapa trak dilihat memaparkan bendera Palestin dan Mesir serta sepanduk "Egyptian Red Crescent", manakala petugas kemanusiaan Bulan Sabit Merah Mesir turut berada di lokasi memantau pergerakan bantuan.

Organisasi bantuan antarabangsa sebelum ini memberi amaran bahawa 2.2 juta penduduk Gaza sedang berdepan kebuluran apabila zionis memutuskan semua bekalan ke wilayah itu sejak Mac, sebelum dibuka semula secara terhad pada Mei dengan sekatan baharu.

Israel mendakwa telah membenarkan bekalan mencukupi masuk ke Gaza dan menuduh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) gagal mengagihkannya secara berkesan. PBB bagaimanapun menegaskan operasinya dijalankan sebaik mungkin dalam kekangan yang dikenakan israel. - Reuters

TUN JULIA MOHD TAHIR