DENVER, 27 Julai - Penumpang penerbangan American Airlines AA3023 berdepan detik cemas apabila terpaksa menyelamatkan diri, selepas asap tebal keluar dari bahagian bawah pesawat.
Rakaman saksi menunjukkan penumpang meluncur turun melalui gelongsor kecemasan dari pintu hadapan dan belakang pesawat, sebahagiannya membawa anak kecil dan bagasi tangan. Asap tebal kelihatan keluar dari bawah pesawat, manakala api kecil turut dilaporkan muncul seketika.
Menurut laman penjejak penerbangan Flightradar24.com, pesawat berkenaan mula berlepas kira-kira pukul 1:15 tengah hari waktu tempatan sebelum terhenti di tengah landasan.
Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Denver menerusi kenyataan di platform X memaklumkan, pasukan penyelamat lapangan terbang dan Jabatan Bomba Denver segera memberi respons terhadap insiden tersebut dan kesemua individu di dalam pesawat telah berjaya dipindahkan.
Lima individu menerima rawatan di lokasi, manakala seorang dibawa ke hospital untuk pemerhatian lanjut.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan. - Reuters