CRANS-MONTANA, 2 Januari – Presiden Persekutuan Switzerland, Guy Parmelin menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kebakaran yang berlaku semasa sambutan Tahun Baharu di resort ski mewah Crans-Montana, pada awal pagi Khamis.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan di sebuah bar dikenali sebagai Le Constellation di barat daya Switzerland.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa percaya insiden itu merupakan satu kemalangan dan bukan serangan.
Polis Switzerland memaklumkan puluhan individu dikhuatiri maut, manakala kira-kira 100 orang cedera.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Itali memetik maklumat polis Switzerland yang menganggarkan kira-kira 40 kematian, namun angka rasmi belum disahkan pihak berkuasa Switzerland.
Parmelin turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara jiran yang menawarkan bantuan.
Beliau berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan segera dan proses pengecaman mayat dapat dilakukan bagi memaklumkan keluarga terlibat.
Sementara itu, dua wanita warga Perancis yang berada di bar berkenaan memberitahu stesen televisyen BFM TV bahawa mereka melihat kebakaran bermula di bahagian bawah tanah kelab berkenaan selepas botol berisi lilin hari jadi diangkat terlalu hampir dengan siling kayu.-REUTERS
