MICHIGAN, 27 Julai - Sekurang-kurangnya 11 individu cedera dalam insiden tikaman di sebuah pasar raya Walmart di Traverse City, Michigan, Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut laporan ABC News.
Polis dan pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi, sementara beberapa pekerja pasar raya dilihat berada di luar premis semasa kejadian. Rakaman video yang disahkan turut memaparkan pasukan paramedik membawa pengusung di kawasan tempat letak kereta Walmart.
Menurut Sheriff Daerah Grand Traverse, Michael Shea, suspek bersenjatakan pisau lipat, dipercayai menyerang mangsa secara rawak. Suspek kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer, menerusi kenyataan di platform X, turut menyatakan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut. “Saya sedang berhubung dengan pihak penguatkuasa undang-undang mengenai berita tragis dari Traverse City. Doa kami bersama mangsa dan komuniti yang terkesan dengan keganasan ini,” katanya.
Setakat ini, keadaan mangsa belum didedahkan. - Reuters