fb fb fb fb fb

Pemindahan besar-besaran di Turki̇ye susulan dua kebakaran hutan

Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan di Sogut, Antalya, Turkiye.

ISTANBUL, 27 Julai - Dua kebakaran hutan yang melanda wilayah barat laut dan utara Turkiye pada Sabtu memaksa pemindahan penduduk secara besar-besaran, menurut pihak berkuasa tempatan.

Di wilayah Bursa, kebakaran yang tercetus antara daerah Kestel dan Gursu merebak pantas ke arah beberapa kampung berdekatan, memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, lapor Xinhua.

Video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai melarikan diri dengan berjalan kaki ketika api menjulang di jalan utama, menyebabkan beberapa kenderaan terperangkap.

Sementara itu, kebakaran yang bermula sejak Khamis di wilayah Karabuk masih belum dapat dikawal, sekali gus mendorong pemindahan hampir 20 perkampungan sebagai langkah berjaga-jaga.

Lebuhraya Ankara-Karabuk turut ditutup apabila penduduk tempatan mula memindahkan ternakan dari kawasan berisiko.

Menteri Pertanian dan Perhutanan Turkiye, Ibrahim Yumakli mengesahkan pada Sabtu bahawa terdapat 76 kebakaran aktif di seluruh negara melibatkan 28 kawasan hutan dan 48 kawasan luar bandar sambil menyatakan bahawa suhu tinggi dan keadaan kering yang melampau menjadikan operasi semakin sukar.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan bomba meneruskan operasi sepanjang malam.

Pada Sabtu, suhu mencecah 38 darjah Celsius di Bursa dan 37 darjah Celsius di Karabuk, dengan ramalan menunjukkan peningkatan suhu dalam dua hari akan datang. - BERNAMA-XINHUA

TUN JULIA MOHD TAHIR