fb fb fb fb fb

Insiden lubang benam: Pihak berkuasa Singapura sahkan bangunan berhampiran tidak terjejas

Foto Tiktok

SINGAPURA, 27 Julai - Penguasa Bangunan dan Binaan Singapura (BCA) mengesahkan bahawa bangunan berhampiran lokasi lubang benam di Jalan Tanjong Katong tidak terjejas akibat kejadian itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BCA memaklumkan bahawa kerja-kerja penstabilan dimulakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan bangunan sekitar serta tapak kerja agensi air negara, PUB, yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.

“Jurutera BCA telah menjalankan pemeriksaan awal ke atas kondominium One Amber serta rumah-rumah teres di seberang jalan.

"Penilaian mendapati struktur bangunan-bangunan berkenaan tidak terjejas,” menurut kenyataan di laman Facebook BCA malam Sabtu.

Kenyataan itu turut memaklumkan BCA bersama-sama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan PUB sedang memantau rapi kerja-kerja pembaikan serta tahap keselamatan keseluruhan di kawasan itu.

Menteri Kemampanan dan Persekitaran Grace Fu turut memaklumkan bahawa beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian.

“Saya memahami kegusaran orang ramai, terutamanya penduduk dan para pekerja di kawasan sekitar berhubung tahap keselamatan bangunan dan jalan selepas insiden ini.

“Saya telah meminta PUB untuk bekerjasama dengan agensi lain termasuk BCA dan LTA bagi menyiasat punca kejadian secara menyeluruh serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam kejadian itu, seorang wanita diselamatkan dan dihantar ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar 5 petang Sabtu.

Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja dari tapak projek berhampiran membantu wanita berkenaan keluar dari kereta serta menghalang kenderaan lain daripada menghampiri kawasan terbabit. - BERNAMA

TUN JULIA MOHD TAHIR