fb fb fb fb fb

Penduduk Lubnan hilang tempat tinggal akibat serangan berterusan zionis

Bangunan musnah di Lubnan.

BEIRUT, 27 Julai - Puluhan ribu penduduk Lubnan masih hilang tempat tinggal dan tidak dapat kembali ke kediaman mereka, berikutan serangan berterusan oleh tentera israel serta kemusnahan infrastruktur di wilayah selatan negara itu.

Meskipun perjanjian gencatan senjata antara Hezbollah dan zionis telah dimeterai sejak akhir November lalu, serangan masih dilaporkan berlaku. Keadaan ini bukan sahaja menghalang kepulangan penduduk, malah membantutkan sepenuhnya usaha pembinaan semula.

Ahli Parlimen Lubnan, Qasim Hashim berkata tentera israel sengaja menyasarkan kawasan sempadan untuk mengosongkannya daripada sebarang aktiviti kehidupan.

“Kegagalan memulakan proses pembinaan semula kini menjadi dilema utama. Kuasa luar, khususnya pentadbiran Amerika Syarikat, mengaitkan bantuan pembiayaan dengan pelbagai isu lain yang tidak ada kena-mengena dengan Lubnan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan Lubnan merangka pelan menyeluruh bermula, yang bermula daripada kerja-kerja pembersihan runtuhan, sehingga ke penyediaan keperluan asas bagi memulakan pemulihan.

Dalam pada itu, pekerja bantuan kemanusiaan memaklumkan bahawa selain keperluan harian, penduduk juga memerlukan sokongan psikologi dan sara hidup berterusan. Ketika ini, kebanyakan keluarga yang terjejas hanya bergantung kepada sokongan komuniti untuk terus bertahan.

Tentera zionis masih berada di lima lokasi utama sepanjang sempadan Lubnan dan mendakwa kononnya serangan yang dibuat bertujuan menghapuskan "ancaman" dari Hezbollah. - Reuters

TUN JULIA MOHD TAHIR