fb fb fb fb fb

Gencatan senjata jadi fokus mesyuarat khas Thailand-Kemboja

Foto AFP

SAMRAONG, 28 Julai - Pemimpin Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan rundingan damai di Kuala Lumpur hari ini, selepas konflik sempadan yang berlarutan selama lima hari mengorbankan sekurang-kurangnya 35 nyawa dan menyebabkan lebih 200,000 orang dipindahkan.

Pertemuan yang dimulakan atas usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu akan mempertemukan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pada jam 3 petang di Kuala Lumpur, dengan kehadiran perwakilan dari China.

Malaysia selaku tuan rumah akan bertindak sebagai pengantara menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua negara terus saling menuduh antara satu sama lain sebelum rundingan.

“Kami tidak yakin Kemboja bertindak dengan ikhlas. Mereka perlu buktikan niat sebenar mereka,” kata Phumtham kepada media sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Bangkok.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata pula menuduh Thailand telah menceroboh wilayah mereka dengan senjata berat dan menempatkan ramai tentera.

Tentera Thailand sebelum itu mendakwa penembak tepat Kemboja bersembunyi di salah satu kuil purba yang dipertikaikan, dan menuduh Phnom Penh menghantar lebih ramai tentera serta melancarkan serangan roket ke wilayah Thailand.

Hun Manet mengesahkan rundingan hari ini bertujuan mencari gencatan senjata segera, hasil inisiatif Trump dan disokong China, sekutu utama Kemboja dari segi ekonomi dan politik.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan pegawai Amerika kini berada di Malaysia bagi mesyuarat khas, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan memberi tumpuan kepada mencapai gencatan senjata serta-merta.

Thailand melaporkan 22 kematian (8 tentera, 14 orang awam), manakala Kemboja mengesahkan 13 korban (5 tentera, 8 orang awam). Lebih 138,000 rakyat Thailand dan 80,000 rakyat Kemboja telah dipindahkan dari kawasan sempadan.

Kerajaan Kemboja menuduh Thailand menggunakan bom kelompok, sementara Thailand pula menuduh Kemboja menyasarkan hospital.

Trump memberi amaran bahawa kedua-dua negara akan dikenakan tarif tinggi jika gagal mencapai persetujuan damai dan perjanjian dagangan baharu.

“Sebaik sahaja semuanya selesai dan keamanan dicapai, saya tidak sabar untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan bersama kedua-duanya!” tulisnya di media sosial.

Kerajaan Thailand turut mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar tidak mencetuskan sebarang bentuk keganasan atau diskriminasi terhadap warga Kemboja yang tinggal di negara itu, susulan sentimen kebangsaan yang semakin membara. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD