TOKYO, 28 Julai – Parti berhaluan kanan Sanseito, yang memperjuangkan agenda ‘Japan First’, mencatat kemenangan mengejut dalam Pilihan Raya Dewan Atasan Jepun apabila berjaya meningkatkan jumlah kerusi daripada satu kepada 14 dalam dewan yang mempunyai 248 kerusi.
Kemenangan bersejarah itu diraikan oleh ratusan penyokong parti berkenaan di sini.
Kemenangan itu sekli gus mencerminkan peningkatan sokongan kepada parti-parti berhaluan kanan di negara-negara demokrasi seluruh dunia.
Sanseito menarik minat ramai belia lelaki, termasuk Yuta Kato, seorang pendandan rambut di daerah mewah Ginza.
Beliau menyuarakan rasa tidak senang terhadap pelancong dan pendatang asing yang menurutnya tidak menghormati etika sosial Jepun, seperti berkumpul di jalanan atau membuat bising di dalam kereta api.
Walaupun warga asing hanya mewakili 3% daripada populasi Jepun, peningkatan pelancong telah menjadikan kehadiran mereka lebih ketara, terutamanya di bandar besar.
Sanseito, yang banyak menyebarkan mesej melalui YouTube dan media sosial, sering memberi amaran tentang “penjajahan senyap” oleh warga asing yang didakwa menghakis budaya Jepun.
Parti itu diasaskan semasa pandemik COVID-19, dan terkenal kerana menyebarkan teori konspirasi vaksinasi.
Sanseito kini memperluas agenda dengan menekankan dasar imigresen ketat, serta janji untuk membantu isi rumah yang terkesan oleh kos sara hidup.
Parti itu turut menggesa agar perlembagaan pacifist Jepun dimansuhkan dan kuasa Maharaja dikembalikan, selari dengan mesej kumpulan sayap kanan ekstrem lain yang sering berkeliaran di bandar dengan trak hitam sambil memutarkan lagu ketenteraan era imperial.
Parti tersebut dikatakan meniru kejayaan parti AfD di Jerman dan Reform UK di Britain.
Bagaimanapun, kemunculannya turut mencetuskan kebimbangan akan normalisasi xenofobia.
Aktivis Masayuki Nabekura, 31, menyifatkan Sanseito sebagai “sangat berbahaya” dan memberi amaran tentang mesej perkauman halus yang disebarkan.
Kajian oleh akademik Romeo Marcantuoni menunjukkan retorik Sanseito sering menyasarkan pelancong dan pendatang, khususnya dari China yang merupakan kumpulan warga asing terbesar di Jepun.
Menurut tinjauan NHK, Sanseito paling popular dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 39 tahun, dengan lelaki lebih cenderung menyokong parti itu berbanding wanita.
Sebaliknya, parti pemerintah Liberal Democratic Party (LDP) pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba kekal popular dalam kalangan warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Platform YouTube rasmi Sanseito kini mempunyai tiga kali ganda lebih ramai pengikut berbanding saluran LDP, dengan tahap penglibatan pengguna jauh lebih tinggi, menurut kajian akhbar Asahi. - REUTERS