fb fb fb fb fb

Syria rancang adakan pilihan raya parlimen di seluruh wilayah, september ini

Ahmad al-Sharaa/Foto Reuters

ISTANBUL, 28 Julai - Syria merancang untuk mengadakan pilihan raya parlimen pertama di bawah kepimpinan baharu antara 15 hingga 20 Sept, selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Tinggi Mohammad Taha al-Ahmad berkata, jawatankuasa itu mengadakan pertemuan pada Sabtu dengan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa bagi membentangkan pindaan utama terhadap undang-undang pilihan raya sementara, selepas beberapa siri rundingan dengan pelbagai lapisan masyarakat Syria.

Sharaa menegaskan kepentingan untuk melaksanakan pilihan raya di semua wilayah Syria serta menolak sebarang cadangan pembahagian wilayah, yang turut ditolak oleh majoriti rakyat Syria.

Presiden itu juga menekankan keperluan menolak pencalonan individu yang menyokong atau bersekongkol dengan penjenayah perang, serta mereka yang menyemai fahaman sektarian atau menyokong perpecahan, kata Ahmad.

Di bawah sistem baharu itu, jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat (Parlimen) akan meningkat daripada 150 kepada 210.

Berdasarkan bancian penduduk 2011, pengagihan kerusi antara wilayah turut diperluas.

Presiden akan melantik 70 daripada jumlah keseluruhan ahli parlimen itu, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa selepas dekri presiden mengenai sistem pilihan raya sementara ditandatangani, jawatankuasa pilihan raya memerlukan kira-kira seminggu untuk membentuk jawatankuasa kecil, yang kemudiannya diberi tempoh 15 hari untuk menubuhkan badan pemilih.

Pendaftaran calon akan dilakukan selepas itu dan calon-calon akan diberi tempoh seminggu untuk berkempen, termasuk menyertai perbahasan bersama badan pemilih dan ahli jawatankuasa.

Pilihan raya dijangka berlangsung antara 15 hingga 20 Sept, dengan sekurang-kurangnya 20 peratus keanggotaan badan pemilih terdiri daripada wanita, kata Ahmad.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses pilihan raya akan dibuka kepada pemantauan masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pilihan Raya Tinggi yang akan memastikan hak untuk mencabar senarai calon dan keputusan akhir turut terjamin.

Pada Sabtu, Pejabat Presiden Syria mengesahkan telah menerima versi akhir undang-undang pilihan raya sementara.

Pada 13 Jun lalu, Presiden Sharaa mengeluarkan dekri untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya Tinggi, yang pada asalnya menetapkan 150 kerusi parlimen sebelum dinaikkan kepada 210.

Berdasarkan dekri itu, jawatankuasa bertanggungjawab membentuk badan pemilih yang akan memilih dua pertiga daripada ahli parlimen, manakala selebihnya akan dilantik oleh presiden.

Kerusi parlimen akan diagihkan mengikut populasi setiap wilayah dan dibahagikan kepada kawasan pilihan raya yang mewakili pemimpin masyarakat dan golongan intelektual, berdasarkan kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa.

Bashar al-Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun melarikan diri ke Rusia pada Disember lalu, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang telah berkuasa sejak 1963.

Sebuah pentadbiran peralihan baharu diterajui Ahmad al-Sharaa dibentuk pada Januari tahun ini.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD