PYONGYANG, 28 Julai – Korea Utara tidak berminat terhadap sebarang dasar atau cadangan perdamaian daripada Korea Selatan, menurut kenyataan Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong Un, pada Isnin.
Ia merupakan reaksi pertama terhadap usaha damai Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung.
Kim Yo Jong, yang merupakan pegawai kanan dalam parti pemerintah Korea Utara dan sering dianggap sebagai jurucakap tidak rasmi kepada Kim Jong Un, menyatakan bahawa komitmen Presiden Lee terhadap pakatan keselamatan Korea Selatan–Amerika Syarikat menunjukkan beliau tiada beza daripada pendahulunya yang bersifat bermusuhan.
"Sekiranya Korea Selatan beranggapan bahawa semua akibat daripada tindakannya boleh dipadamkan dengan beberapa ucapan bersifat emosional, maka itu adalah satu kesilapan besar dalam perhitungan mereka.," katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi KCNA.
Lee Jae Myung mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 4 Jun lalu selepas memenangi pilihan raya mengejut susulan penyingkiran bekas Presiden konservatif, Yoon Suk Yeol, yang dikaitkan dengan cubaan gagal melaksanakan undang-undang tentera.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki hubungan dua hala yang semakin tegang, Lee telah menghentikan siaran pembesar suara propaganda anti-Korea Utara di sempadan serta mengharamkan tindakan aktivis melancarkan risalah ke wilayah Korea Utara — dua isu yang sebelum ini mencetuskan kemarahan Pyongyang.- REUTERS