fb fb fb fb fb

Hujan luar biasa landa utara China, 4,000 penduduk dipindahkan

Penduduk kampung membersihkan lumpur dari jalan selepas hujan lebat menyebabkan banjir di daerah Yi, Baoding, wilayah Hebei./Foto REUTERS

BEIJING, 28 Julai - Hujan lebat yang berterusan melanda Beijing dan wilayah-wilayah berdekatan di utara China mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan pemindahan besar-besaran, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Lebih 4,000 penduduk dipindahkan, termasuk lebih 100 orang dari kampung Xiwanzi berhampiran Empangan Miyun.

Kesemua penduduk ditempatkan di sekolah rendah berdekatan, lapor penyiar rasmi CCTV.

Hujan luar biasa terus membadai kawasan Miyun di barat laut Beijing, dengan aliran paras air di empangan Miyun dilaporkan mencecah rekod baharu 6,550 meter padu sesaat, menurut pihak berkuasa tempatan.

Fenomena hujan luar biasa berkenaan merupakan sebahagian daripada pola cuaca ekstrem yang meluas akibat Monsun Asia Timur,

Keadaan itu dikhuatiri menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan bandar utama di China.

Di wilayah jiran Shanxi, jalan raya ditenggelami air deras, dengan tanaman dan pokok turut musnah.

Misi mencari dan menyelamat giat dijalankan di bandar seperti Datong, yang menyaksikan pemandu dilaporkan hilang semasa memandu dalam banjir, menurut akhbar People's Daily.

Di Hebei, dua maut dan dua lagi dilaporkan hilang, manakala hujan lebat mencatat rekod 145 milimeter sejam di daerah Fuping di bandar industri Baoding.

Kementerian Sumber Air China telah mengeluarkan amaran banjir khusus kepada 11 wilayah dan kawasan, termasuk Beijing dan Hebei, bagi menghadapi risiko banjir dari sungai-sungai kecil, sungai pertengahan dan aliran gunung.

Pihak berkuasa kini berusaha memantau rapi perkembangan hujan ekstrem ini kerana ia menguji keupayaan sistem kawalan banjir yang semakin usang dan mengancam sektor pertanian China bernilai $2.8 trilion. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD