SEOUL, 28 Julai – Samsung Electronics pada Isnin mengumumkan telah memeterai perjanjian bernilai AS$16.5 bilion untuk membekalkan cip kepada sebuah syarikat global utama yang tidak dinamakan, ia sekali gus melonjakkan saham syarikat itu sebanyak 3.5 peratus.
Gergasi teknologi dari Korea Selatan itu memaklumkan bahawa perjanjian tersebut ditandatangani pada Sabtu, melibatkan perkhidmatan pembuatan cip kontrak.
Bagaimanapun, butiran lanjut termasuk identiti pelanggan dan terma perjanjian tidak akan didedahkan sehingga kontrak itu selesai pada penghujung tahun 2033.
Perjanjian itu memberi sokongan kepada Samsung yang sedang berdepan cabaran dalam persaingan menghasilkan cip kecerdasan buatan (AI).
Samsung mempunyai pelanggan seperti Tesla dan Qualcomm dalam perniagaannya, manakala pesaing utama, TSMC, membekalkan cip kepada syarikat seperti Apple dan Nvidia.
Perkembangan itu juga berlaku ketika Korea Selatan sedang giat mencari kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam bidang semikonduktor dan pembinaan kapal, sebagai usaha terakhir untuk mencapai perjanjian perdagangan yang mampu menghapuskan atau mengurangkan tarif AS sebanyak 25 peratus.
Namun, masih belum jelas bagaimana tempahan terbaru itu akan memberi kesan kepada rancangan Samsung untuk memulakan pengeluaran di kilang baharunya di Texas, Amerika Syarikat, yang sebelum ini mengalami kelewatan berikutan kesukaran mendapatkan pelanggan utama.- REUTERS