PUTRAJAYA, 28 Julai - Thailand dan Kemboja memulakan mesyuarat khas berkaitan konflik Thailand-Kemboja di Putrajaya petang ini, selepas lima hari pertempuran di sempadan yang menyebabkan lebih 35 orang terbunuh dan lebih 200,000 lagi melarikan diri.
Pertemuan berprofil tinggi itu berlangsung sekitar pukul 3.15 petang di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan rundingan itu sebagai Pengerusi ASEAN.
Mesyuarat itu dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Kawasan sempadan yang menjadi pertikaian sejak lebih seabad lalu kembali tegang sejak minggu lalu, apabila kedua-dua negara saling menuduh melancarkan serangan menggunakan roket dan meriam.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mencapai gencatan senjata.
Ketua diplomat AS, Marco Rubio, berkata pegawai Jabatan Negara kini berada di Malaysia bagi membantu proses damai.
Manakala delegasi dari China turut menyertai Mesyuarat Khas itu sebagai pemerhati.
Thailand setakat ini mengesahkan 22 kematian, manakala Kemboja melaporkan 13 korban.
Sambutan ulang tahun Raja Thailand turut dibatalkan hari ini.
Malaysia dijangka terus memainkann peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan penyelesaian damai tercapai secepat mungkin. - AFP