BEIJING, 28 Julai - China menyatakan sokongan terhadap mesyuarat khas Thailand dan Kemboja yang berlangsung di Putrajaya hari ini bagi gencatan senjata segera di kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Luar, Guo Jiakun, berkata China berharap kedua-dua negara mengutamakan kepentingan rakyat, menghentikan pertempuran dan kembali ke meja rundingan.
"Kami berharap kedua-dua pihak dapat bermula daripada kepentingan bersama rakyat masing-masing, menjunjung semangat menghargai keamanan dan memupuk hubungan kejiranan yang baik, kekal tenang serta berlapang dada, menghentikan tembakan dan menamatkan konflik secepat mungkin," katanya.
Terdahulu, China turut menghantar delegasi rasmi ke Putrajaya sebagai negara pemerhati dalam mesyuarat itu yang di pengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat khas pada pukul 3.15 petang itu melibatkan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai. - AFP