fb fb fb fb fb

Tembakan rambang di Bangkok, lima maut

Anggota penyelamat dan polis memeriksa lokasi kejadian selepas insiden tembakan di pusat beli-belah Or Tor Kor di Bangkok hari ini yang meragut lima nyawa/Foto AFP

BANGKOK, 28 Julai - Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah pasar popular di Bangkok tengah hari tadi, yang mengorbankan lima pengawal keselamatan dan seorang cedera.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan di pusat beli-belah Or Tor Kor, tidak jauh dari kawasan pelancongan terkenal, pasar Chatuchak.

Menurut Timbalan Ketua Polis Bang Sue, suspek menggunakan senjata api sebelum menembak diri sendiri selepas insiden terbabit.

Beliau berkata, polis kini dalam proses mengenal pasti identiti suspek serta menyiasat sebarang kemungkinan kaitan dengan konflik sempadan Thailand-Kemboja yang sedang memuncak.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Kitrat Phanphet, mengarahkan siasatan segera dijalankan dengan rakaman CCTV berdekatan.

Pusat beli-belah Or Tor Kor terletak berhampiran Pasar Chatuchak, merupakan destinasi tumpuan pelancong utama di Bangkok pada hujung minggu.

Insiden tembakan rambang bukan perkara asing di Thailand, ini susulan kawalan senjata api yang longgar dan akses senjata yang mudah di negara itu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN