fb fb fb fb fb

PM optimis prestasi LHDN terus meningkat melalui pendigitalan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

CYBERJAYA, 10 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, optimis bahawa prestasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus meningkat menerusi pendigitalan yang lebih tersusun dan sistematik.

Beliau memuji pencapaian agensi itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya pada tahun lalu, dengan pengenalan instrumen baharu seperti e-invois yang membantu memperkemaskan sistem percukaian negara.

"Saya berpandangan pengurusan lebih tersusun, lebih teratur, dan instrumen baharu seperti e-invois telah diperkenalkan, yang banyak membantu. Saya percaya jika standard dan disiplin ini dapat dikekalkan, mereka akan dapat mencapai hasil yang jauh lebih baik", katanya.

Beliau juga yakin dengan standard dan disiplin semasa, LHDN akan dapat meningkatkan lagi prestasinya dan menyumbang lebih banyak kepada hasil negara.

“Jika LHDN mengekalkan standard dan disiplin sedemikian, mereka akan dapat menyumbang lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari HASiL ke-29, di sini.

Pada 2024, kutipan cukai langsung Malaysia berjumlah RM184.805 bilion, meningkat sebanyak RM1.465 bilion berbanding tempoh sama pada 2023.

ROSLINA BINTI DIN