fb fb fb fb fb

PM mahu aspek keselamatan sosial diberi penekanan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 September -Aspek keselamatan sosial perlu diberi perhatian dan dijadikan sebahagian daripada ekosistem global. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu harus bergerak seiring dengan perkembangan dunia bagi memastikan prinsip keadilan dapat terus dicapai. 

Jelasnya, jurang ketara antara negara maju dan negara membangun terus menjadi isu utama dalam usaha memperkukuh perlindungan dan keselamatan sosial di seluruh dunia.

"Ekosistem itu boleh mengambil pelbagai bentuk iaitu pembiayaan perlindungan yang lebih kukuh, dana global yang diwujudkan untuk kesihatan dan iklim, percukaian rentas sempadan yang lebih adil, serta perkongsian kepakaran dan teknologi supaya tiada negara yang ketinggalan. 

"Tiada negara yang mampu menghadapi cabaran ini secara bersendirian. Jurang antara negara amat ketara. Negara-negara kaya melabur besar dalam perlindungan sosial. Sebaliknya, negara-negara miskin bergelut untuk menyediakan keperluan asas," katanya dalam ucapan perasmian World Social Security Forum (WSSF) 2025 di ibu negara. 

Forum lima hari yang berlangsung hingga 3 Oktober ini menjadikan Malaysia sebagai hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial. 

Mengangkat tema “Shaping Social Security for a World in Transition”, forum pada hari ini dihadiri lebih 2,000 peserta dari lebih 133 negara termasuk wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). 

Forum itu mempamerkan peranan Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam dialog global bagi usaha membentuk hala tuju ke arah sistem perlindungan sosial yang inklusif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. 

TETITIA YUSOFF