
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pihak pembangkang, yang didakwanya cuba mengalihkan perhatian daripada isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan menjadikannya dirinya sebagai bahan polemik politik.
- Tumpuan harus pada pengkhianatan terhadap Tabung Haji dan kepentingan pendeposit, bukan drama politik.
- Anwar persoal pendirian PN yang ditunjangi PAS mengenai kepentingan orang susah dan pendeposit Tabung Haji.
- Beberapa Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat; sidang khas RCI Tabung Haji diteruskan walau tanpa Perdana Menteri.
Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan kepada apa yang disifatkannya sebagai “penghianat” terhadap TH dan kepentingan pendeposit institusi itu, bukannya menjadikan dirinya sebagai sasaran perbahasan.
“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
“Orang Melayu Islam telah dikhianati tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” kata beliau dalam catatan di Facebook.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional yang ditunjangi PAS dalam isu berkenaan, terutamanya membabitkan kepentingan pendeposit TH yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?,” soal beliau.
Hantaran itu dibuat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat dan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) pagi ini, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meneruskan sesi penerangan tanpa kehadiran Perdana Menteri dan menolak cadangan Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya persidangan ditangguhkan.
Perdana Menteri sebelum itu memohon maaf kerana tidak dapat menyertai sidang khas itu, kerana sedang menjalani rawatan fisioterapi selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini diadakan bagi mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudianya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.- BERNAMA