RCI TH: Pembangkang sepatutnya manfaatkan platform Dewan Rakyat, bukan tinggalkan persidangan

Pembangkang bertindak keluar dari persidangan Dewan Rakyat / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pembangkang sepatutnya memanfaatkan platform Dewan Rakyat untuk membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, bukannya meninggalkan persidangan hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangkang keluar Dewan menafikan peluang ahli Parlimen membahaskan isu Tabung Haji untuk kepentingan rakyat.
  • Ahli Parlimen mahu persoalan mengenai aset, kedudukan kewangan dan pihak bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji dibahas.
  • Salah laku mesti dikenakan tindakan supaya Tabung Haji kekal kukuh, telus dan bebas daripada campur tangan politik.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata Dewan Rakyat adalah platform terbaik untuk Ahli Parlimen mengemukakan persoalan dan mendapatkan penjelasan berhubung pihak yang bertanggungjawab terhadap isu Tabung Haji.

“Saya amat dukacita dengan tindakan yang diambil oleh pembangkang yang keluar daripada Dewan, hanya semata-mata kerana Perdana Menteri tidak hadir.

“Ini merupakan platform yang paling baik di mana ahli-ahli Parlimen memikul tanggungjawab untuk membahaskan mana-mana perkara yang melibatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang akan dibangkitkannya ialah dakwaan berkaitan aset Tabung Haji, kedudukan kewangan institusi itu serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata sebarang salah laku yang dikenal pasti perlu dikenakan tindakan bagi memastikan Tabung Haji kekal sebagai institusi yang kukuh, telus dan bebas daripada campur tangan politik.

“Saya sedih juga ada orang tak nak bahas dan keluarkan, dicari alasan. Sepatutnya perkara begini ada ruang supaya mereka ini bahas dan membawa kebenaran kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata Dewan Rakyat menjadi ruang bagi setiap isu dan cadangan direkodkan secara rasmi berkaitan pengurusan TH.

“Isu-isu teknikal yang dibangkitkan tetapi hakikatnya ini ruang yang terbaik. Suka atau tidak, ini ruang terbaik untuk kita bahaskan isu rakyat secara mendalam dan menyeluruh,” kata Datuk Radzi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh turut berpandangan Ahli Parlimen seharusnya memainkan peranan dalam persidangan bagi mengenal pasti kekurangan dalam laporan RCI TH.

“Ini peluang terbaik untuk kita meneliti kelemahan dan kekurangan dalam hasil laporan tersebut supaya penambah baikan dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Terdahulu, pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan tidak mengikuti persidangan khas berhubung Laporan RCI Tabung Haji hari ini susulan ketiadaan Datuk Seri Anwar pada persidangan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.