KUALA LUMPUR, 11 September- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sehingga 2.2 juta kenderaan sehari menggunakan lebuh raya kendaliannya pada 12, 13, 19 dan 20 September ini sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Malaysia.
Menurut kenyataan PLUS, pengguna Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disaran merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS.
“Dengan penambahbaikan terbaharu, MyPLUS-TTA kini boleh diakses pada hari-hari puncak terpilih.
Ia direka untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien di luar musim perayaan, serta membantu memastikan aliran trafik lebih lancar,” jelas kenyataan itu.
PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet mencukupi.
Selain, memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS untuk perancangan perjalanan lebih mudah.
“Selamat menyambut Hari Malaysia ke-62 dan selamat bercuti kepada semua rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.