PLKN 3.0 diperluas ke 20 IPTA tahun depan

Adly Zahari/ Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan diperluaskan ke 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai tahun hadapan dijangka melibatkan lebih 190,000 pelajar secara berperingkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan peserta dibuat melalui sistem undian rawak dan penyertaan adalah secara sukarela.
  • UPSI melaksanakan projek rintis yang menerima maklum balas positif terutamanya modul kenegaraan, patriotisme dan pembentukan sahsiah.
  • Pelaksanaan PLKN 3.0 dibuat secara berfasa mengikut kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar dan infrastruktur.
  • Modul ditetapkan 30 peratus kenegaraan, 30 peratus kepimpinan dan 40 peratus elemen ketenteraan untuk mencapai objektif.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata jumlah itu merupakan unjuran awal berdasarkan perancangan semasa dengan pelaksanaan program bergantung kepada kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar dan kemudahan infrastruktur.

Katanya, pemilihan peserta akan dibuat menerusi sistem undian secara rawak serta penyertaan secara sukarela.

Menurut beliau, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan projek rintis PLKN 3.0 sebelum program itu diperluaskan ke 19 lagi universiti awam di seluruh negara bermula 2027.

“Berdasarkan penilaian awal, projek rintis ini menerima maklum balas positif khususnya terhadap modul kenegaraan, patriotisme dan pembentukan sahsiah.

“Sebelum diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta, kerajaan perlu menilai keberkesanan modul, pencapaian objektif, maklum balas peserta dan institusi, selain kesiapsiagaan prasarana, tenaga pengajar serta keupayaan pelaksanaannya secara mampan.

“Buat masa ini, keutamaan diberikan kepada institusi pengajian tinggi awam,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly berkata pelaksanaan PLKN 3.0 dibuat secara berfasa dengan mengambil kira kapasiti infrastruktur, tenaga pengajar dan keperluan latihan.

Beliau berkata modul latihan ditetapkan merangkumi 30 peratus komponen kenegaraan, 30 peratus kepimpinan dan 40 peratus elemen ketenteraan bagi memastikan objektif program dapat dicapai.

Terdahulu, Dr. Awang Sariyan meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan perancangan serta langkah penyelarasan pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pengajian tinggi termasuk unjuran bagi memastikan program itu dapat diperluaskan ke semua kategori institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.