Penyelesaian isu Rohingya perlu komitmen global

Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Malaysia kekal berpendirian penyelesaian jangka panjang terhadap isu Rohingya tidak boleh diletakkan kepada Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan pihak berkuasa Myanmar serta sokongan masyarakat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha diplomatik dengan Myanmar bagi memastikan repatriasi Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.
  • Malaysia menggesa pihak berkuasa Myanmar mewujudkan persekitaran kondusif untuk membolehkan pemulangan komuniti Rohingya.
  • Malaysia menggunakan platform ASEAN untuk mendesak pelaksanaan Konsensus Lima Perkara sebagai kerangka penyelesaian aman di Myanmar.
  • Kerajaan laksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), menghentikan pendaftaran UNHCR sementara dan memperkukuh kawal selia operasi UNHCR.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, kerajaan terus mengadakan usaha diplomatik dengan Myanmar bagi membolehkan proses repatriasi komuniti itu dilaksanakan secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

Di peringkat dua hala, Malaysia terus menggesa pihak berkuasa Myanmar mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan komuniti Rohingya kembali ke tempat asal mereka.

Katanya, perkara itu pernah dibangkitkan Menteri Luar semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Myanmar pada 19 Mei lalu.

“Di peringkat serantau, Malaysia secara konsisten menggunakan platform ASEAN untuk menggesa pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC), serta penyelesaian secara aman terhadap krisis di Myanmar.

“ASEAN terus memberikan keutamaan kepada pelaksanaan konsensus itu secara menyeluruh dan berkesan sebagai kerangka utama untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di Myanmar, serta mewujudkan keadaan yang kondusif agar komuniti Rohingya dapat kembali ke negara asal mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukan oleh Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara di sini.

Beliau berkata Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Justeru, pengurusan pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan berasaskan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).

Tegasnya, kerajaan sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi menyelaras data, mengesahkan identiti serta meningkatkan pemantauan tanpa bergantung sepenuhnya kepada rekod entiti asing.

“Kita telah melalui keputusan Kabinet yang mengarahkan UNHCR menghentikan sebarang pendaftaran pelarian buat masa ini kerana kita sedang menyusun semula pelaksanaan Program DPP yang telah diperkenalkan.

“Menerusi DPP, kerajaan dapat mengurus data dengan lebih tersusun, termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkukuh kawal selia terhadap operasi UNHCR di Malaysia dalam memastikan semua pemegang kad UNHCR tertakluk kepada undang-undang negara, sekali gus menjamin kepentingan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.