4,598 permohonan daftar lewat kelahiran diterima JPN

Datuk Badrul Hisham Alias

KUALA KRAI, 23Julai – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 4,598 permohonan daftar kelahiran lewat di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendaftaran kelahiran penting untuk memastikan hak warganegara dan akses kepada dokumen pengenalan diri serta kemudahan kerajaan.
  • Kelewatan mendaftar boleh menyebabkan kesukaran mendapatkan dokumen pengenalan dan menjejaskan masa depan individu.
  • JPN menegaskan pendaftaran hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari; isu status perkahwinan boleh diselesaikan kemudian.
  • Program MEKAR JPN membantu menyerahkan sijil kelahiran, mengatasi halangan seperti ketiadaan dokumen perkahwinan dan masalah pengangkutan.

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pendaftaran kelahiran merupakan langkah penting bagi memastikan setiap individu dapat menikmati hak sebagai warganegara.

Kelewatan atau kegagalan mendaftarkan kelahiran boleh memberi implikasi besar terhadap masa depan seseorang termasuk kesukaran memperoleh dokumen pengenalan diri serta menikmati pelbagai hak dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang berasa risau atau takut kerana bukan warganegara, atau beranggapan perkahwinan mereka tidak sah dan perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu.

“Sebenarnya, perkara itu boleh diuruskan kemudian. Yang penting, pendaftaran kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran berlaku. Isu-isu lain seperti status perkahwinan dan perkara berkaitan boleh diselesaikan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR): Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni Abd Wahab, 53 tahun yang mempunyai kekangan pengangkutan untuk ke pejabat JPN di bandar Kuala Krai.

Lapan anaknya itu ialah Muhammad Hamizul, 19 tahun; Muhammad Hilkairi (17 tahun), Muhammad Hilkar (16 tahun), Siti Nor Rubillah (14 tahun), Siti Nor Rossa (13 tahun), Siti Norria Akila (11 tahun), Muhammad Narwa Ahadi (8 tahun) dan Muhammad Hafitdan (6 tahun).

Sementara itu, ibu mereka, Nur Syuhada Wahab, 40 tahun, berkata, penantiannya sejak 19 tahun lalu untuk anak-anaknya memperoleh sijil kelahiran akhirnya tercapai selepas JPN menguruskan permohonan mereka.

Menurut Nur Syuhada kegagalan mendaftarkan kelahiran sebelum ini adalah berpunca daripada masalah keluarga, termasuk ketiadaan dokumen perkahwinan serta kesukaran mendapatkan kemudahan pengangkutan untuk berurusan di pejabat JPN.

“Sebelum ini saya berdepan kesukaran untuk menghantar anak ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran. Alhamdulillah, sekarang semua anak saya sudah memperoleh sijil kelahiran dan insya-Allah saya akan menghantar mereka ke sekolah pada tahun depan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.