Warga emas hilang sejak Ahad ditemukan meninggal dunia

Abdullah Besar, 70, dilaporkan hilang sejak Ahad lalu./ JBPM

KEMAMAN, 23 Julai – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak Ahad lalu di Kampung Baru, Felda Neram Satu, terjawab apabila mayatnya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat ditemukan tertiarap di kawasan semak berlopak air, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba yang dibuka semasa operasi.
  • Operasi SAR bermula selepas polis memaklumkan kehilangan pada 20 Julai; laporan diterima pada pukul 6.40 petang.
  • Mangsa dilaporkan keluar bersendirian dari rumah adiknya kira-kira pukul 7 pagi hari Ahad sebelum tidak kembali.
  • Operasi hari keempat melibatkan sembilan anggota BBP Cheneh, Unit STORM, K9, bomba sukarela dan penduduk kampung.

Mangsa, Abdullah Besar, 70, ditemukan pada kira-kira pukul 11.15 pagi dalam keadaan tertiarap di kawasan semak berlopak air, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka sepanjang operasi pencarian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Penguasa Bomba Mohd Hafizul Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan mangsa pada pukul 6.40 petang, 20 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan keluar bersendirian dari rumah adiknya pada kira-kira pukul 7 pagi, Ahad lalu, namun tidak pulang sehingga laporan kehilangannya dibuat.

Mayat mangsa ditemukan pada kira-kira pukul 11.15 pagi tadi, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba yang dibuka sepanjang operasi pencarian./ JBPM

“Operasi SAR memberi tumpuan pencarian di sekitar kawasan Jabor Perasing serta ladang ternakan ayam dalam radius sehingga 10 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang kali terakhir.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di kawasan semak berlopak air oleh pasukan SAR,” katanya.

Operasi SAR yang memasuki hari keempat membabitkan sembilan anggota BBP Cheneh dengan bantuan Unit STORM, Unit Anjing Pengesan (K9), bomba sukarela Felda Seberang Tayor dan Felda Neram Satu serta penduduk kampung.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.