
PUTRAJAYA, 23 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan peningkatan penyertaan golongan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
- MAHA 2026 mempamerkan jentera pintar, IoT dan AI untuk menunjukkan pertanian kini berteknologi tinggi.
- Golongan belia dinilai mampu menguasai dan mengaplikasikan teknologi baharu dengan pantas bagi memodenkan sektor pertanian.
- Pertanian dipromosi sebagai bidang berteknologi tinggi menawarkan peluang kerjaya dan pulangan jangka panjang yang baik.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata, pameran yang melibatkan teknologi dan jentera pertanian moden pada MAHA 2026 penting bagi menarik minat generasi muda yang berkemahiran dalam teknologi untuk menceburi sektor pertanian moden.
“Melalui MAHA 2026, kita mahu menunjukkan kepada bakal graduan TVET bahawa sektor pertanian hari ini bukan lagi bergantung kepada kaedah tradisional.
“Sebaliknya, sektor ini telah berkembang dengan memanfaatkan teknologi moden seperti penggunaan jentera pintar, Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Kita percaya golongan muda mempunyai keupayaan, kreativiti dan kebijaksanaan untuk menguasai serta mengaplikasikan teknologi baharu dengan pantas.
“Justeru, mereka mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan pelbagai inovasi dan teknologi terkini dalam memodenkan sektor pertanian negara,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Penyerahan Laporan Kajian TVET Pertanian di Malaysia yang dilaksanakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Tambah beliau, sektor itu perlu dilihat sebagai bidang berteknologi tinggi yang menawarkan peluang kerjaya serta pulangan jangka panjang yang baik, bukan lagi sektor yang dianggap kotor, sukar atau berbahaya
MAHA 2026 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dari 28 Ogos hingga 6 September ini akan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan inovasi pertanian bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi sektor agromakanan.