PKR beri kerjasama siasatan dakwaan salah laku

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penglibatan seorang Ahli Parlimennya dalam kes salah laku melibatkan transaksi RM10 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Anwar memberi mesej jelas: kerajaan tidak akan melindungi pihak yang terlibat dalam salah laku.
  • Prinsip sama terpakai kepada semua kelompok, termasuk ahli parti dan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan.
  • Tindakan lanjut perlu bermula dengan laporan rasmi kepada PDRM atau SPRM; polis juga melakukan serbuan ke atas premis terbabit.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kepimpinan parti telah dimaklumkan mengenai laporan berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Sekiranya terdapat sebarang kes, ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

“Kita tiada apa yang perlu disembunyikan dan parti akan memberi kerjasama penuh kepada pihak penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang salah laku.

Menurut beliau, prinsip itu terpakai kepada mana-mana kelompok, termasuk ahli parti atau Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sendiri.

Tambahnya, sebarang tindakan lanjut perlu bermula dengan laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, media melaporkan seorang ahli perniagaan, yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat, mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Polis turut mengesahkan serbuan ke atas beberapa premis milik individu terbabit di sekitar Kajang, namun beliau dan isterinya dilaporkan tiada di lokasi semasa serbuan dilakukan.