PKD dan NADI diperkasa, perkukuh usahawan luar bandar

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di NADI Taman Seri Telok Mas / Foto BERNAMA

TELOK MAS, 8 Mei – Pusat Komuniti Desa (PKD) akan diaktifkan bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperkasakan program keusahawanan khususnya di luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program NADI bersama platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee memberi pendidikan perniagaan, membantu usahawan tempatan meningkatkan jualan dan pendapatan.
  • Kementerian akan diselaraskan untuk menyokong pelaksanaan inisiatif NADI menerusi rangkaian Pusat Komuniti Desa.
  • Program NADI On Wheels menjelajah kawasan luar pusat bagi menjalankan aktiviti keusahawanan bersama komuniti setempat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi merealisasikan hasrat itu menerusi 190 PKD di seluruh negara.

Menurut beliau, program keusahawanan yang dilaksanakan menerusi NADI dilihat banyak membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan, termasuk melalui kerjasama bersama platform e-dagang.

“Program keusahawanan NADI bersama TikTok Shop dan Shopee memberi pendidikan kepada usahawan untuk meningkatkan jualan. Ada antara usahawan yang mengikuti program ini berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan ketara,” katanya selepas Majlis Perasmian NADI Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Penasihat NADI Melaka di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, NADI kini melangkah lebih jauh menerusi Program NADI On Wheels yang menjelajah ke kawasan luar pusat berkenaan bagi menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat.