
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN perlu terus kekal bersatu, tangkas dan berpandangan jauh dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks serta tidak menentu.
- Tumpu menangani cabaran seperti krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan gangguan rantaian bekalan melalui tindakan bersama.
- Perkukuh keterhubungan serantau melalui pelaksanaan ASEAN Power Grid, perdagangan intra ASEAN dan percepat kerjasama ekonomi digital.
- Perluas jaringan strategik dengan rakan dipercayai serta pertahankan prinsip dialog, hormati undang undang antarabangsa dan penyelesaian damai.
Menerusi hantaran di Facebook sempena penutupan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, beliau berkata, rantau itu kini berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan dan gangguan rantaian bekalan yang memerlukan semangat kebersamaan serta tindakan bersama semua negara anggota.
Perdana Menteri berkata, keamanan dan kemakmuran serantau hanya dapat dipertahankan menerusi kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh keterhubungan serantau melalui pelaksanaan ASEAN Power Grid, selain memperluas perdagangan intra-ASEAN dan mempercepat kerjasama ekonomi digital.
ASEAN juga perlu memperluas jaringan strategik dengan rakan yang diyakini bagi meningkatkan daya tahan rantau itu dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.
“ASEAN harus terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta penyelesaian damai terhadap setiap pertikaian,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, dalam dunia yang semakin menyimpang daripada nilai kemanusiaan dan kestabilan sejagat, ASEAN tidak boleh hanya menjadi pemerhati.
Sebaliknya, perlu tampil sebagai platform memperkukuh keyakinan serantau, menjana pertumbuhan lebih adil dan memastikan masa depan yang aman serta mampan untuk seluruh rakyat di rantau ini.