TANJUNG MALIM, 1 Jun- Badan kebajikan Petronas menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM100,000 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu bagi membantu mahasiswa asnaf.
Majlis penyerahan sumbangan diadakan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dengan UPSI diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli manakala Petronas diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dana Asy-Syakirin (anak syarikat Petronas), M Nasarudin Salleh.
Pada majlis yang sama,wakil Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) turut sama menyampaikan sumbangan.
Menurut Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat Dan Sedekah (WEZAS), Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latiff, sumbangan zakat korporat berjumlah RM 100,000 yang diterima itu akan diagihkan kepada 100 pelajar asnaf dengan setiap pelajar mendapat RM 1,000 seorang.
“Kami akan memastikan pelajar asnaf yang terpilih menerima sumbangan mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang, akhlak terpuji dan terlibat aktif adalam aktiviti persatuan atau kolej,” katanya di sini.
Beliau mengalu-alukan mana-mana pihak atau agensi korporat di negara untuk memberi sumbangan dalam bentuk zakat atau wakaf yang akan memberi manfaat untuk mahasiswa asnaf yang sedang menuntut di bawah 10 fakulti.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli mengucapkan terima kasih kepada Badan Kebajikan PETRONAS kerana sudi memberi sumbangan zakat berkenaan.
"UPSI sentiasa prihatin terhadap kebajikan mahasiswa yang dikategorikan dalam golongan asnaf, malah berterima kasih kepada pihak badan kebajikan bawah Petronas yang memberi sumbangan berkenaan ,”ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim turut mendedahkan minat PETRONAS bagi mengadakan kolaborasi bersama UPSI dalam pelbagai bidang terutamanya yang melibatkan kanak-kanak seperti Program Kem Cuti Sekolah pada masa akan datang.