
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Masa depan kanak-kanak lebih terjamin apabila hak, kebajikan dan keselamatan mereka menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.
- Parlimen mempunyai peranan unik dalam memajukan dan melindungi hak serta keselamatan kanak-kanak.
- Perlindungan kanak-kanak memerlukan penyelarasan antara institusi dan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, masyarakat sivil, komuniti serta keluarga.
- Dapatan simposium perlu dijadikan panduan untuk pertimbangan perundangan dan usaha berterusan memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak.
- Simposium mengumpulkan penggubal undang-undang, pembuat dasar dan pakar untuk membincangkan reformasi perundangan, akses keadilan, hak digital dan pembangunan komuniti mesra kanak-kanak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, parlimen mempunyai peranan unik dalam memajukan dan melindungi hak serta keselamatan kanak-kanak di negara ini.
“Perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama dan tidak boleh dipikul oleh satu kementerian, satu agensi atau satu peringkat kerajaan sahaja.
“Sebaliknya, ia memerlukan penyelarasan antara pelbagai institusi, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, serta jalinan kerjasama yang bermakna dengan pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-Kanak di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap hasil perbincangan sepanjang simposium yang julung kali diadakan itu dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di negara ini.
“Dapatan dan cadangan yang dikemukakan dalam simposium ini tidak seharusnya terhenti setakat perbincangan sahaja.
“Sebaliknya, ia perlu dijadikan panduan dalam perbincangan akan datang, pertimbangan berkaitan perundangan serta usaha berterusan untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Simposium selama dua hari itu menghimpunkan penggubal undang-undang, pembuat dasar, pakar perundangan dan institusi pendidikan dari seluruh negara.
Antara isu yang dibincangkan termasuk reformasi perundangan, akses kepada keadilan, perlindungan kanak-kanak, hak digital serta pembangunan komuniti mesra kanak-kanak.