KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling di Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasinya sehingga pukul 12.30 tengah malam pada Sabtu ini, sempena perlawanan Pestabola Merdeka 2023.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, pelanjutan waktu operasi tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat sokongan kepada pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang bakal berlangsung esok.
Sehubungan itu, waktu operasi bagi stesen-stesen integrasi juga akan dilanjutkan, manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa.
"Penumpang boleh keluar di stesen-stesen tersebut bagi meneruskan perjalanan ke destinasi akhir," menurut kenyataan.
Penyokong dinasihatkan supaya menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dengan memastikan baki pada kad adalah mencukupi atau membeli token perjalanan pulang lebih awal bagi kelancaran perjalanan pergi dan balik.
"Penyokong disaran agar menggunakan fasiliti ‘Park N Ride’ di stesen-stesen rel terpilih bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik serta kesulitan dalam mencari parkir di kawasan stadium.
"Sila gunakan kad TnG yang sama bagi mendapatkan kadar rata bagi bayaran parkir," tambahnya.
Rapid Rail berkata, inisiatif lanjutan perkhidmatan tersebut adalah sebagai tanda sokongan Rapid KL terhadap pasukan negara serta para penyokong Harimau Malaya dalam memastikan kemudahan pengangkutan awam tersedia bagi mengurangkan kesesakan kenderaan di sekitar kawasan stadium pada hari perlawanan nanti.
“Sila layari Twitter dan Facebook MyRapidKL atau layari laman web www.myrapid.com.my untuk maklumat lebih lanjut,” katanya lagi.
(Pestabola Merdeka 2023 akan membuka tirainya pada esok)
Berita berkaitan:
FAM tawar tiket kombo RM70 untuk Pestabola Merdeka 2023
Pestabola Merdeka: Palestin sah tarik diri