
KANGAR, 14 Mac – Menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, golongan pesara serta komuniti yang aktif dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut tidak dilupakan bagi menceriakan sambutan perayaan itu.
- 30 penerima disantuni menerusi Program Sumbangan Kasih Aidilfitri anjuran KRT Taman Perumahan Behor Lateh.
- Sumbangan barangan keperluan harian bertujuan meringankan persiapan penerima dan mengeratkan hubungan kejiranan.
- KRT turut bekerjasama pejabat Menteri Besar, salur bantuan perayaan lain dan sumbangan pendidikan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM.
Seramai 30 penerima disantuni menerusi Program Sumbangan Kasih Aidilfitri hasil inisiatif KRT Taman Perumahan Behor Lateh.
Pengerusi KRT Taman Perumahan Behor Lateh, Areff Affandy Ariffin berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian itu diharap dapat membantu penerima membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih ceria.
Menurutnya, program berkenaan digerakkan oleh jawatankuasa KRT sebagai usaha berkongsi rezeki selain mengeratkan hubungan kejiranan dalam komuniti setempat.
“Program ini juga sebagai tanda penghargaan kepada pesara dan individu yang banyak menyumbang kepada komuniti sehingga membolehkan KRT terus aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Kasih Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Taman Perumahan Behor Lateh, di sini, dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perlis.
Selain pesara dan individu yang berjasa kepada komuniti, KRT Taman Perumahan Behor Lateh turut menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan sempena Aidiladha, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
KRT itu juga menyediakan sumbangan pendidikan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).