Peruntukan RM807.5 juta bina 2,102 bilik darjah tambahan

Foto KPM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Sejumlah RM807.5 juta diperuntukkan bagi 681 projek pembinaan 2,102 bilik darjah tambahan di sekolah seluruh negara bagi memenuhi keperluan tambahan murid tahun satu sesi Kalendar Akademik 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menerusi JKR sedang melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah seluruh negara.
  • RM668 juta bagi 524 projek Semenanjung dan Labuan, 1,780 bilik: 1,255 aliran perdana, 525 PPKI; menampung 43,925 perdana dan 5,250 PPKI.
  • Sarawak laksana 84 projek (210 bilik) kos RM81.5 juta; Sabah 73 projek (112 bilik) kos RM58 juta; sebahagian siap awal, selebihnya siap menjelang Disember.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, projek pembinaan itu sedang giat dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM668 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 524 projek melibatkan pembinaan 1,780 bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ia merangkumi sebanyak 1,255 bilik darjah adalah bagi aliran perdana manakala 525 bilik darjah untuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Pembinaan berkenaan dijangka mampu menampung pertambahan 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid PPKI.

“Projek ini adalah cerminan komitmen jitu kerajaan terhadap agenda pendidikan negara dan bagi memastikan pelaksanaan kemasukan murid umur enam tahun ke Tahun 1 berjalan lancar seperti yang dirancang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPM menerusi JKR Sarawak melaksanakan 84 projek membabitkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan dengan anggaran kos RM81.5 juta.

Ia merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI bagi menampung pertambahan 4,900 murid aliran perdana serta 700 murid PPKI.

Di Sabah pula, sebanyak 73 projek dilaksanakan membabitkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan, terdiri daripada 92 bilik darjah aliran perdana dan 20 bilik darjah PPKI dengan anggaran kos RM58 juta.

Projek berkenaan dijangka dapat menampung pertambahan 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid PPKI.

Menurut KPM, beberapa projek juga berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu.

Projek-projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang Disember depan bagi memastikan sekolah bersedia menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.